GETARAN JIWA (VIBRATION OF THE SOUL) (2004)
Director's note (In Malay):
 
Apakah P.Ramlee masih relevan dalam konteks perubahan dunia seni dan hiburan tanah air yang semakin ditekan oleh arus globalisasi dan teknologi?  Apakah warisan kesenimanannya masih boleh dicerap dan dihayati oleh generasi masa kini yang sudah lali dan tepu dengan seni hiburan santai yang disimbah oleh media massa?  Masih mampukah getaran seninya merentasi zaman yang semakin rancak berubah? Adakah cahaya ilhamnya masih boleh diwarisi oleh generasi kini dan mendatang?

Inilah antara persoalan yang menggerakkan Pejabat Pembangunan Seni & Budaya (Dewan Budaya) USM untuk mengusahakan sebuah persembahan unik yang dinamakan “Getaran Jiwa : P.Ramlee Merentas Zaman” (GJ). Persembahan ini beriltizam menghidupkan  getar seni P.Ramlee dalam bentuk semasa yang menggabungkan elemen teater, konsert muzik dan multimedia.

Teras kepada persembahan ini merujuk kepada ‘getaran jiwa’ yang merupakan nadi terpenting dalam warisan karya-karya tinggalan P.Ramlee.  Beliau ibarat sebutir ‘cahaya’yang menyentuh khalayak menerusi kepekaan menggarap getar jiwa masyarakatnya.  Segalanya ditempiaskan dalam bayangan watak, cerita atau kisah, dialog, lagu dan senikata yang dicipta. 

Sekiranya bentuk-bentuk zahir sesebuah masyarakat akan sentiasa berubah, getar jiwanya tetap bergelora dalam arus dan ombak yang sama.  Inilah yang memacu dan menyinari warisan tinggalan P.Ramlee merentas batasan bayangan zaman. Getaran jiwa, nadi, cahaya dan bayang adalah juga unsur-unsur utama yang diserapkan dalam konsep persembahan GJ.  Unsur-unsur ini juga dapat diteliti dalam warisan tradisi wayang kulit.

Persembahan Gj juga menjunjung semangat P. Ramlee merentas sempadan bidang-bidang seni baik seni lakon, seni pentas, seni filem, gubahan lagu,muzik dan nyanyian. Selain dari merentas bidang, semangat merentas generasi – kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua juga diadaptasikan.  Kehebatan P. Ramlee merentas sempadan bidang dan generasi sewajarnya dijadikan model terbaik untuk sebarang inisiatif seni dan budaya kontemporari dikalangan generasi seniman masa kini.  GJ mengembangkan semangat ini kepada usaha merentas perbezaan antara dunia filem, pentas, muzik, nyanyian, rekabentuk, seni halus dan yang terkini – multimedia.

GJ menterjemahkan konsep getar, nadi, cahaya dan bayang dalam bentuk sebuah cerita yang ringan sebagai wahana atau medium penyampaian mesej. Seiring dengan keunikan P.Ramlee menyampaikan mesej-mesej berat dalam bentuk yang bersahaja seperti komedi, GJ cuba menghidupkan keunikan sebegini menerusi garapan dan pembacaannya terhadap situasi masyarakat semasa di Malaysia.  

Situasi ini merujuk kepada kesan dari tekanan meniti kemajuan material yang mendadak, arus globalisasi budaya dan ekonomi pasaran liberal, ledakan teknologi komunikasi, dan keterbukaan hiburan popular yang semakin membingit. 
Situasi masyakarat semasa yang semakin memecah menjadi serpihan fragmen-fragmen kecil digambarkan menerusi sebuah keluarga ahli korporat bumiputera yang ghairah dan tenggelam mengejar habuan kebendaan semata-mata.  Keghairahan yang tidak berpandu ini telah meminggirkan unsur terpenting dalam pembinaan siasah keluarga dan masyarakat yang sejahtera – yakni jiwa yang sihat dan bersinar disimbah oleh rasa kasih dan sayang sesama insan. 
Watak-watak dan jalan cerita keluarga yang dipapar mencerminkan serpihan fragmen manusia yang semakin hanyut dalam pemainan bayang kepuasan material masing-masing. Ibarat lakonan atau kepuraan-puraan yang tidak disedari, bayangan kepuasan fizikal ini perlu dibuka tabirnya agar kita semua dapat melihat dengan cahaya mata hati.  Pembuka tabir ditamsilkan menerusi watak seorang pendita pembawa cahaya dan seorang anak perempuan yang terpaksa bersendiri dalam mencari cahayanya.

Apakah keluarga (atau masyarakat) yang hanyut, gersang dan pecah-retak sebegini dapat diselamatkan?  Apakah katalis yang dapat menyelamatkannya?  Apakah kita perlu menuntut korban yang lebih ramai?  Apakah pengorbanan untuk harga sebuah kemajuan yang mahu kita gapai dan junjung?  Apakah makna kemajuan yang kita pegang? Apakah sebenarnya yang kita kejar dan cari?     

“Getaran Jiwa : P.Ramlee Merentas Zaman” (GJ) diusahakan sebagai sebahagian dari sambutan 35 tahun Universiti Sains Malaysia (USM).  GJ juga merupakan antara aktiviti pengisian siri program “Demi Masa 2004” yang diusahakan oleh Pejabat Pembangunan Seni & Budaya, Pusat Pengajian Seni USM untuk sepanjang tahun ini.   
“Demi Masa” merupakan sebuah usaha terancang memperkasakan seni dan budaya dalam sebuah oasis ilmu bernama Universiti Sains Malaysia.  Ia beriltizam mengimbangi penekanan universiti ini terhadap aspek-aspek pembangunan sains dan teknologi dalam mendepani cabaran semasa dan mendatang.

HASNUL J SAIDON
Pengarah Projek
 
 
 
 

The picture above is an example of an early sketch for poster design by Maizul, based on P.Ramlee's "Sarjan Hassan". The idea was later abandoned.
 
Together with Maizul and Rahim (my students then), we came up with this poster design for a multi-media theater production, to 'communicate' the idea of P.Ramlee's vibrating spirit and creativity cutting across time. The show was a hit with audience spilling even out-side the hall, but not sure it was due to the design, or Liza Hanim, who was the guest singer.

 
My thumbnail sketches for the poster.
Thumbnail sketches for the poster.
 
Concetp sketch for the proposed poster.
 
My storyboard.
&
Synopsis of the story (in Malay):

Cerita berkisar sekitar keluarga Nur Lail, seorang kanak-kanak perempuan yang kesunyian mencari cahaya kasih dalam sebuah keluarga mewah yang hanyut dalam kerakusan mengejar habuan hidup masing-masing.  Lantaran dipinggirkan, Nur Lail lebih senang bermain dengan computer laptopnya dan hidup antara dunia realiti dengan dunia siber.  Nur Lail juga sentiasa berbicara sendirian, menjadikan dirinya hidup antara dunia nyata dengan dunia khayalan atau mimpi. 
Ibunya Wan Muslimah Wan Ketut sentiasa dihimpit oleh tekanan menjaga imej diri dan keluarga agar dihormati dan disanjungi oleh masyarakat.  Bercita-cita untuk membantu suaminya mengejar status Dato’, Wan Muslimah berpura-pura bahagia walaupun beliau sentiasa dipinggirkan oleh suaminya yang sibuk mengejar habuan politik, wang dan wanita.  Tekanan ini menjadikan Wan Muslimah terlalu keras terhadap anak-anak yang semakin hanyut dalam dunia masing-masing.  Walaupun sibuk dengan kerja-kerja amal dan kebajikan untuk menjaga imej peribadi, dia hidup dalam kepura-puraan dan gagal dalam menjaga keluarganya.  

Jalan cerita seterusnya meniti rentetan kehidupan Wan Muslimah dengan ahli-ahli keluarganya yang terpecah ibarat serpih-serpih yang hidup dalam dunia bayang masing-masing.

Anak perempuan remajanya Zeti, tenggelam dalam khalayan cinta remaja pra-matang terlarang dengan jejaka bernama Shak yang tidak disukainya.  Anak lelaki sulungnya ‘Mat Rock’ khayal dalam dunia heavy-metal, pil ekstasi, budaya metro berpaksi aliran dollar, selera urban alternatif,  dan kebebasan dunia mat motor yang tidak berkiblat.  Anak perempuan sulungnya Dina seorang career woman pula semakin keras disampuk angin dunia korporat yang gersang jiwa dan sanggup menggadai maruah diri dan bangsa demi mengaut keuntungan.  Anak lelakinya yang remaja  Niko, hanyut dalam bingit dunia hiburan pop dan simbahan citra tv satelit tidak bersempadan hingga tidak lagi boleh berkomunikasi secara normal dengan manusia lain. 

Suaminya Hussein Maidin Putu semakin tewas dalam perjuangan politik dan ekonominya, dibuai mimpi harta, tahta dan wanita sehingga memaksa Wan Muslimah berjinak dengan bomoh (yang penipu) untuk mengubati suaminya. 

Wan Muslimah cuba menyatukan keluarganya yang retak berpecah namun dia sendiri tewas dan hidup dalam kepura-puraan mengejar bayang penghormatan dan sanjungan masyarakat.  Pada masa yang sama, musuh-musuh politik dan perniagaan suaminya sentiasa menanti untuk membalas dendam, menyebabkan dia menjadi semakin terhimpit.

Begitupun, Wan Muslimah tidak menyedari bahawa dia mempunyai sebutir cahaya yang boleh menyelamatkan keluarganya dari hanyut dalam bayang masing-masing. 
 
Apakah dan siapakah yang membawa cahaya tersebut?  Apakah harga yang perlu dibayar oleh keluarga ini untuk membuka tabir kepuraa-puraan dan menerima cahaya menerusi mata hati? Apakah sebenarnya yang mereka kejar dan cari? Apa yang mereka dapat?
 
 
My storyboard
&
the running order of the play (in Malay):

1
Pembawa masa dan penjaga cahaya
2
Membuka tabir
3
Salam P.Ramlee
4
Getaran Jiwa
5
Merentas zaman – Nur Lail
6
Zeti dan Shak bertanya sama hati
7
Ibu Puan Sri ku
8
Zeti dan Jeritan Batinnya
9
Mat Rock dengan geng do-re-mi
10
Malaysian dodol
11
Dina si wanita korporat, Mat Rock dan Ibu Puan Sri mereka
12
Tan Sri dengan Nasibnya
13
Dina dan AhLong
14
Puan Sri dan Tan Sri main Aci-aci bersama mambang
15
Bomoh Siam Misteri Nusa-alpa
16
Bergegas ke Dewan Budaya
17
Live di Dewan Budaya
18
Liza Hanim
19
Panggilan Cemas
20
Semangat Nur Lail dengan Penjaga Cahaya
21
Finale - Lagenda
22
Kredit Tenaga Produksi
 
Sketch for costume of Dina, by Tetriana Ahmed Fauzi. Tetriana also designed and sketched costumes for other characters, based on the characters and scenes as outlined in the script.
Character brief (in Malay):
 
Dina (Wardina Afifah Hussein Putu)
 
Anak perempuan Encik Hussein.  Berkulit hitam manis.  Seorang ahli korporat wanita berusia dalam lingkungan lewat 20an. Mempunyai banyak anak syarikat sendiri, termasuk perniagaan milik bapanya.  Berktrampilan korporat tetapi berjiwa agak keparat.  Sanggup melakukan apa saja demi untuk menjayakan agenda korporatnya. Kesemuanya dilihat dari sudut Ringgit dan Dollar. Bercakap Melayu dalam loghat Inggeris untuk menjaga PR.  Sentiasa lincah dan petah menghujah, terutama bila bercakap dengan ibunya.  Bersifat oportunis dan sentiasa mencari jalan pintas mencapai keuntungan walaupun menggadai maruah dan bangsa sendiri.
 
Antara teman lelakinya ialah Ah Long:
 
Ah Long ialah anak seorang peniaga Cina yang berjaya dan berkerja keras.  Beliau mewarisi harta dan kemewahan bapanya.  Berusia 30an bergaya ala hero filem Hong Kong.  Merupakan seorang yang lurus dan berjiwa lembut.  Sanggup melakukan apa saja untuk menggembirakan Dina.  Tidak tahu yang Dina hanya menggunakannya untuk kepentingan perniagaan.
Character brief (in Malay):
 
Zeti (Zaiton Hussein Putu)
 
Anak remaja Hussein Putu dan Muslimah. Berusia awal 20an, berkulit hitam manis.  Memakai tudung tetapi suka bergaya dan berpakaian agak seksi serta ketat.  Berjiwa romantis dan mudah dihanyut oleh perasaan.  Nampak sangat bersopan tetapi sebenarnya untuk mengambil hati ibunya dan menutup sikapnya yang suka berpoya-poya dengan teman lelaki. 
Encik Hussein Maidin Ali Putu - Tuan Korporat bakal Dato’
 
Tuan korporat ini merupakan seorang usahawan bumiputera yang boleh dikira berjaya.  Mewarisi peniagaan bapanya dari generasi penghijrah Pulau Mutiara yang pertama.  Bapa kepada Nur Lail.  Suami kepada Puan Wan Muslimah Wan Ketut.  Berusia dalam lingkungan 50an, berkulit gelap dan berbadan agak gembal dengan perut yang ketara buncitnya.
 
Encik Hussein tewas tenggelam dalam angan-angan korporat dan politik yang sangat tinggi, dipacu pula oleh nafsu besar hingga bertukar dari seorang peniaga kecil yang berbudi luhur kepada seorang yang berjiwa bengis, kasar, rakus dan keras.  Bermula dari hasrat mulia memerdekakan bangsa, Encik Hussein bertukar menjadi hamba korporat dan politik wang yang tidak mengenal halal dan haram, yang hak dengan yang batil.  Jiwanya dihijab dan dirasuk oleh ketaksuban mengejar kemewahan hingga melupai tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.  Encik Hussein juga dibeban hutang, tuntutan gaji pekerjanya yang diperah dikerah tanpa belas kasihan, dendam seteru niaga dan politik yang diainayanya.  Beliau dihanyut oleh arus rasuah, teman-teman wanita dan pujian penyokong-penyokongnya yang tidak ikhlas. 
 
Suami kepada
 
Wan Muslimah Wan Ketut
 
Anak kepada seorang ulamak dan guru agama dari Pantai Timur.  Berusia dalam lingkungan lewat 30an, berbadan besar namun masih manis menawan rupawan. Sentiasa menjaga penampilan diri apabila berada ditengah masyarakat tetapi sangat berserabai apabila berada dalam rumah sendiri.
 
Walaupun Puan Muslimah hidup dalam kemewahan yang disediakan oleh Encik Hussein, jiwanya sentiasa tertekan lantaran sikap suaminya yang semakin lupa diri.  Puan Muslimah tersangat taksub dalam menjaga nama baik dan imej keluarganya sehingga menjadi terlalu keras dalam mendidik anak-anak.  Beliau sentiasa mahu menonjolkan imej beragama walaupun pada hakikatnya beliau sendiri tidak ikhlas dalam melaksanakannya. Setiap perkara yang dibuat perlu nampak mulia hanya semata-mata untuk mendapat pujian dan penghormatan dari masyarakat.  Puan Muslimah sibuk melibatkan dirinya dengan kerja-kerja amal untuk meningkatkan imejnya, walaupun pada hakikatnya beliau sendiri gagal mendidik anak-anaknya dengan sempurna.       
Mat Rock (Razak Maidin Hussein Putu)
 
Anak lelaki Encik Hussein berusia 25 tahun.  Berambut panjang dan berpenampilan rock (seluar jeans ketat, t-shirt dan berjaket kulit). Meminati muzik rock, seorang pemain gitar utama kumpulan rocknya sendiri.  Tidak mempunyai pekerjaan tetap.  Gemar menonggang motosikal berkuasa tinggi.  Tidak gemar duduk di rumah, sentiasa merayau, hidup bebas, selamba. Tidak suka mencari masalah tetapi suka mencuba pelbagai jenis dadah.
Brader Hip-Hop (Awang Hadi bin YB Dato’ Mat Saat)
 
Rakan sekolah Mat Rock.  Anak seorang Dato’.  Tidak bekerja.  Hidup dilimpahi kemewahan.  Meminati budaya hip-hop.  Sentiasa tidak bersetuju dengan segala jenis establishment walaupun hidup disuap oleh hasil dari banyak establishment yang disanggahnya!
 
Pretty Boy (Mohd Idris bin Jusoh)
 
Rakan masa di sekolah Mat Rock, jejaka metro yang lembut dan manis bergaya. Berpenampilan kemas, bersih, profesional dan berjenama. Mempunyai kulit yang licin dan jauh lebih bijak dari Mat Rock.  Bekerja sebagai seorang eksekutif pemasaran.  Berkawan dengan Mat Rock kerana meminati gaya lasak Mat Rock. Meminati irama R&B dan cuba berjinak-jinak sebagai penyanyi.  Suka melepak di Gurney Drive sambil menghirup kapucino.  Berhasrat menyertai Malaysian Idol.
Nur Lail binti Hussein Putu
 
Nur Lail atau cahaya malam adalah watak untuk seorang anak perempuan berusia antara 6 hingga 12 tahun.  Nur dilahir dan dikelilingi oleh kegelapan jiwa-jiwa yang dikepung bayang tuntutan kebendaan.  Kegelapan ini dicitrakan dalam bentuk keluarganya sendiri.  Nur ialah anak bongsu sebuah keluarga ahli korporat Melayu yang dihimpit dan ditewaskan oleh cabaran memperkasakan peradaban bangsa yang bersifat material semata-mata.  Seiring dengan namanya, Nur tertarik kepada semangat yang membawa cahaya dari getar jiwa yang luhur.  Lantaran itu, dia boleh melihat dan berkomunikasi dengan PC yang tidak boleh dicerap oleh mata kasar manusia.
 
Secara zahir, hubungannya dengan PC disinonimkan dengan minatnya kepada mesin PC laptop yang selalu diribanya. Nur melihat mesin ini sebagai pembawa cahaya (maklumat hadir dan disalurkan dalam jaringan fiber optic sebagai signal cahaya). Baginya mesin tersebut adalah cahaya untuknya yang sunyi dalam kegelapan jiwa sebuah keluarga yang gersang.  Nur terawang antara alam nyata dengan alam siber, juga antara dunia fizikal dengan dunia ghaib.
 
 
Nur Lail berkawan dengan 'Penjaga cahaya'
 
Penjaga Cahaya adalah ‘getar jiwa’  - suatu entiti semangat yang hadir dalam  
bentuk jasad manusia.  PC mencitrakan dirinya dalam pelbagai watak, dialog,
ekspresi, riak wajah, lontaran emosi dan buah fikiran. Kesemuanya sentiasa
bersalin rupa dan berubah ibarat air mengalir yang tiada henti.  PC adalah
nafas, degup nadi dan cahaya – sebagai getar jiwa yang ada pada setiap
insan; yang semakin tertekan dipinggirkan dan dihijab oleh ketaksuban
terhadap bayangan zahir semata-mata. PC adalah cahaya yang menyuluh
kegelapan kealpaan manusia yang dihijab oleh tuntutan bersifat fizikal atau
material. PC merentas keterbatasan masa dan ruang.  Beliau juga pembuka
hijab atau tabir lakonan manusia.
 
 
 
Nur Lail ialah adik kepada
 
Niko (Norman Maidin Hussein Putu)
 
Anak lelaki Encik Hussein berusia 9 tahun.  Sangat meminati sukan X-treme, seorang skateboarder dan penggemar budaya hip-hop.  Apabila dirumah, sentiasa leka melekat didepan TV menukar-nukar siaran saletit TV untuk mendapatkan hiburan.  Meminati MTV dan Channel V.  Meminati segala jenis gadget elektronik dan computer.
Hantu Harta
 
Roh seorang hamba kepada nafsu harta yang membuat perjanjian dengan seekor jin tanah berlidah panjang (bajang).  Semasa hayatnya suka bermain loteri haram, sesudah mati terus menjadi kuli kepada si bajang.  Kerja menggoda dan menyesat manusia agar terus dihanyut oleh kemewahan harta-benda.
 
Hantu Takhta
 
Roh seorang hamba pangkat yang berkawan dengan syaitan untuk mendapat habuan politik.  Semasa hayatnya menabur janji palsu dan menggadai bangsa, sesudah mati dijerat oleh tali syaitan ibarat seekor anjing suruhan. Kerjanya mematuhi suruhan menggoda manusia menjilat pangkat ibarat anjing menjilat duburnya sendiri.
 
Hantu Wanita
 
Roh seorang hamba kepada nafsu seksual yang dihanyut gelora syahwat.  Semasa hayat menghambakan diri kepada kehendak jasad, setelah mati menjadi hamba suruhan syaitan syahwat untuk menggoda manusia-manusia yang lemah jiwanya.
 
Shak (Shahrul Khairuddin b. Kulup Manaf)
 
Shak ialah teman lelaki Zeti yang kacak bergaya.  Berkerja sebagai artis Dewan Budaya.  Berjiwa seni, tetapi jarang mendapat peluang untuk menyerlahkan bakatnya.  Mempunyai ramai teman wanita tetapi sentiasa dipandang rendah kerana poketnya yang selalu kosong.
 
 
2004, final concept drawing for "Getaran Jiwa - P.Ramlee Merentas Zaman", Dewan Budaya, USM, Penang. Written, directed and designed by Hasnul J Saidon with Dewan Budaya and School of the Arts Team USM. Central to the concept is the notion of 'cahaya' or light, in regards to P.Ramlees's artistic spirit.
Early sketch for stage and set design, by Khizal saat.
Early sketches for the stage and set design by Khizal Saat. the set was built by Shaparel Salleh.
Setting and installating the stage, with 6 video monitors on the stage floor and one video projection as the backdrop. Two pre-recorded video sources were used in the production, combining both live and virtual dimension of the story.
Stage and set for "Getaran Jiwa" with P. Ramlee Orchestera in front.
Yusof Bakar and Khizal Saat, setting the front house.
Music rehearsal, P.Ramlee Orchestra.
Crew, musicians and actors/actresses during production meeting at the Dewan Budaya USM.
My x-boss and leadership mentor, Tan Sri Dato Prof. Dzulkifli Abdul Razak, welcoming the humble TYT, Governor of Penang.
State Anthem.
Another x-boss, then the Dean of the School of the Arts, Prof. Dato' Najib Ahmad Dawa (left), and the rest of the VVIP, before the show.
Penjaga Cahaya (PC) masuk dari bilik pengurus membawa lilin menuju ke pentas.  Sampai di pentas PC bermonolog dalam pelbagai gaya dan watak yang pernah dimainkan oleh P.Ramlee dalam filem-filemnya, sambil menyalakan sebatang lilin
 
Penjaga Cahaya:
Yang ‘ada’ itu bergetar.  Yang bergetar itu sedar. Yang sedar itu bergetar (menggengam tangan ibarat penumbuk sambil menumbuk dada mengikut ritma degup jantung).  Getar….jiwa.  (melagukan getaran jiwa sambil tangan terus menumbuk dada). 
 
Yang dilanda itu adalah hati.  Pada hati, ada cahaya (melihat lilin).  Pancarannya jatuh pada pentas (melihat ke lantai) dan tabir (melihat ke tabir pentas) menjadi bayang.  Kerana ada cahaya, wujud bayang.  Tempat jatuh! dan bermainnya bayang adalah lautan ujian. Tabirnya…….berlapis-lapis.  Mesti diselak, mesti dibuka.  Kerana ada dilihat dalam melihat, ada ditonton (melihat penonton) dalam menonton, ada disaksi dalam menyaksi, ada aku dalam kamu, ada kamu dalam aku, ada ada dalam tiada. 
 
(Melihat lilin) Yang dicari itu cahaya, bukannya bayang di atas pentas, atau bayang yang jatuh di atas tabir. Bukannya bayang.  Bayang memang gelap dan banyak, tapi cahaya hanya Satu….. Hanya satu (melihat dan menggenggam lilin). ………….
 
Ada cahaya singgah hati, ada hati yang dilanda getaran, ada getaran kerana sedar(kembali menumbuk dada), ada jiwa kerana sedar, ada sedar yang meng’ada’kan aku, dalam kamu, kamu dalam aku. (geleng-geleng kepala seperti tidak faham dan bingung)
 
(Melihat ke atas, arah control room) Sudin!....Satar!....Ramlee! (dalam loghat Jawa persis Wak dalam filem Pendekar Bujang Lapuk) hari sudah mau hujan……selak ini tabir, buka ini pentas! Kita mahu main bayang!   
Sekuen Pembuka
VO Dialog S.Shamsuddin dan Aziz Sattar, buka pintu gua (dari filem 'Ali Baba Bujang Lapuk")
Muzik pembuka filem Melayu lama
Tirai buka
P.Ramlee atas skrin besar menyambut penonton dan mengumumkan persembahan akan bermula
Seperti dalam “Ragam P.Ramlee” diikuti oleh dubbing
Selamat datang ke sebuah persembahan teater muzikal multimedia berjudul “Getaran Jiwa – P.Ramlee Merentas Zaman.
Lagu "Getaran Jiwa"
Lampu spot pertama ke mikrofon lama
Lampu spot kedua ke saksofon
Lampu spot ketiga ke kerusi pengarah
Dering SMS "Getaran Jiwa"
 
Pelakon kanak-kanak perempuan (watak Nur Lail) masuk setelah ringing tone dengan berlari anak sambil menari.  Berpusing-pusing sekitar set 1 dengan riang.  Duduk di kerusi pengarah sambil membuka laptop.  Menaip sesuatu seolah sedang berchatting dalam internet. 
Melihat ke arah penonton, senyum.
Melihat ke arah sebatang lilin di down stage center
Pergi ke down stage center, melutut depan lilin
Melihat penonon:
 
"Tanya sama hati, apa makna sayang?"
 
Meniup lilin.
 
Semua lampu padam.
 
Zeti berdiri di aisle kanan berhampiran VVIP sambil menyanyi solo “Tanya Sama Hati”  dengan memegang 1 lilin.  Disambut oleh Shak dari aisle kiri, juga memegang 1 lilin di tangan.  Perlahan-lahan mereka menuju ke atas pentas.
Zeti duduk di kerusi Cleopatra sambil meletakkan lilin.  Shak berdiri di sebelahnya, kemudian duduk.  Semakin lama semakin rapat.  Ingin bercumbu secara remaja pra-matang.  Hampir-hampir mencium Zeti, tetapi terhenti kerana ternampak Wan Muslimah sedang menuju ke arah mereka.
Wan Muslimah (menerpa) :
Heh!!! Ewah…ewah….seronoknya dio.   Ni buke filem Hollywood, Bollywood, buke Broadway mu tau tak! Mu ingat rumah aku ni Akademi Fantasia!  (berbisik) sia!
 
Shak (sambil menjauhkan diri dari Zeti) :
Sorry mem…(kemudian bangun ke tepi)
 
Wan Muslimah (ambil tempat duduk Shak) :
Duduk berduean gini jante-tino, ado sete ditengoh dok ngipah mu tau tak? Mu nampak tak?
 
Shak :
(melihat Muslimah yang duduk ditengah) Nampak….besar
 
Zeti :
Tapi Umi….kan Nur dan Niko ada di sini…bukan kami berdua je
 
(Zeti, Muslimah dan Shak melihat Nur & Niko yang sibuk dengan hal masing-masing hingga tidak memperdulikan apa yang berlaku)
 
Wan Muslimah : Ado sini apo bendo?! (melihat ke arah Nur & Niko) Apo nak jadi mu berduo ni. TV,tv,tv, tv……mari sini controlar tu (mengambil remote control dari Niko). (Melihat ke arah Nur) Hok ni ..komputar, komputar, komputar…Putar otak aku dibuatnya.  Gi masuk bilik
 
(Nur berlari ke bilik.  Niko berjalan selamba gaya hip-hop sambil sempat berSMS)
 
Shak :
Saya minta diri dulu ye…
 
Wan Muslimah :
Eweh…eweh..weh…senangnyo mu nak lepah tange.  Ni nak kawe dengan anak orang ni mu ado duit ke nak tanggung?  Mu kerjo gapo?
Shak :
(Berbisik sendiri) Buat dah……..(kepada Muslimah) Nama saya Shahrul Khairudin Kulup Manaf.  Artis Budaya Dewan Budaya
 
Wan Muslimah :
Gapo! Artis Budaya? Heh! Pantang 7 keturunan aku bergaul dengan artis budaya mu tau tak! (melihat ke Zeti) Mu ni benok sungguh. Aku suruh bertune denge Hishe anak Dato Pakar mu tak nak. Hensem. Ado phd bio-teknologi, V6 Perdana, kondo kat tepi Feringgi, profesar lagi! Mu nak mengerek dengan artis budaya.  Dia nak bagi mu make gapo? Make Budayo?
 
Shak (nampak sedikit marah) :
Apa? Teruk sangat ke artis budaya?  Keturunan saya tak ada pantang pun berkawan dengan manusia.  Berkawan dengan jin dan setan memang bapak saya tak bagi.
 
Wan Muslimah :
Keturunan aku orang baik-baik. Ni, We Muslimah We Haji Ketut, ulamak tersohor seluruh Malaysia. Bukan keturunan loyar buruk!
 
Shak : 
Macam nilah mem…Ulamak ke, alamak ke, ular mak ke, itu mem punya hal.  Saya takde masa nak layan dan bergaduh sesama umat.  Simpan lah anak mem tu baik-baik macam pekasam.  Saya boleh berkawan dengan anak dara keturunan yang lain. Hai, hai, bai, bai.  Assalamu’alaikum wbt (beredar)
Wan Muslimah (sedikit terasa) :
Mu’alaikum sale.
 
(Wan Muslimah merenung Zeti dengan tajam.  Zeti tunduk. Wan Muslimah beredar)
 
Zeti (mendail telefon bimbit) :
Apa ni Shak?  Apa you buat ni?.....Aaa? Itu mak I, bukan I.  You berkawan dengan I, bukan mak I.  Apa? you senang-senang pakai, lepas tu nak buang. (suara yang tinggi) Apa you ni?!! Apa ni Shaaak!! (mencampak telefon bimbit ke tepi kerusi).
 
Zeti menyanyi lagu “Jeritan Batinku”  
Zeti bangun untuk beredar. Terdengar bunyi motosikal bermotor besar dan disuluh lampu motosikal.  Abang Zeti Mat Rock yang masuk dari stage wing dengan motor besar berkuasa tinggi..  Mat Rock menegurnya, tetapi Zeti buat tidak peduli dan terus beredar.  Mat Rock geleng kepala selamba sambil ke tengah pentas.
 
Mengambil gitar sambil mula memetik dalam gaya guitarist brutal heavy metal
 
Mula menyanyi lagu “Do-Re-Mi” dalam gaya heavy metal.
 
Tiba rangkap 2, masuk brader Hip-Hop londeh gelebeh dengan skutter menyanyi lagu yang sama dalam gaya rap hip-hop.
 
Tiba korus, masuk R&B pretty boy bertindik menyanyi lagu yang sama dalam gaya R&B
 
Pretty boy menjeling-jeling Mat Rock seperti mengoda.  Mat Rock tak perasan.
Setelah habis menyanyi, ketiga-tiga sahabat menoleh ke skrin besar sambil mendengar komen dari juri-juri professional.  Mereka dikutuk hebat, namun masih memberi reaksi gembira.
Juri 1 :
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Suara keras berlagak kasar
Nak mengajuk orang janganlah sampai menconteng budi
 
Juri 2 :
Dua tiga kucing berlari
Mana nak sama si kucing belang
Idola pujaan megah dicari
Nak ber’attitude’ pun janganlah santun diterajang
 
Juri 3 :
Gunung Daik bercabang tiga
Bukit Bendera tempat bercuti
Melangkah gagah jenama antarabangsa
Nak kejar untung, janganlah sampai hilangkan jati diri
 
Ketiga-tiga Mat Rock, Mat Hip-Hop dan Pretty Boy mengangguk-ngangguk sambil tersenyum dan ketawa gembira.
Dina (menerpa ke arah Pretty Boy dan Mat Hip-Hop):
Congrat! Congratulation! Tahniah!  Great job! This is what I’ve been looking for.  Ada gaya, ada attitude, ada star quality. Ada brand value.  Inilah yang audien kita mahu!  Undian SMS u all….meletup. Rakyat Malaysia telah bersuara.  They want you!
 
Mat Rock (sambil mencelah antara kedua-dua rakannya dengan Dina) :
Cop!Cop!Cop! Cop! Alo sis.  Orang lain hang bleh kon. Nak bikin business boleh pi….
Dina (menyampuk, tidak memperdulikan Mat Rock, terus menerpa lagi Pretty Boy) :
This is my card.  I can make you a star. I can make u…
 
Mat Rock (mencelah lagi) :
Woo,wooo,wooo…..Gua punya geng hang jangan nak ayat.
 
Mat Hip-Hop :
Relaxla Mat Rock. Cool man.  Sendiri punya adik pun tak percaya ke? Wiki wiki wiki (dengan gaya tangan hip-hop)
 
Mat Rock :
Hang tak tau.  Dia ni semua benda dia nak jual, dengan hang-hang sekali dia jual nanti…(Dina seperti tidak mendengar, tekun meneliti Pretty Boy dari hujung rambut ke hujung kaki)
 
(Mat Rock menarik Mat Hip-Hop jauh dari Dina. Mat Hip-Hop binggung sedikit. Keduanya menuju ke motosikal masing-masing.  Pretty Boy ingin mengikut dari belakang, menuju ke Mat Rock, tetapi tiba-tiba dihalang oleh Dina) 
 
Dina (selamba dan tidak menunjukkan reaksi) :
You! you have the look.  Metro look. Very good looking.  Clean-cut, kemas, bersih, gemilang, terbilang.  We want you.  You boleh pergi jauh. With this look, you boleh buat duit.  Satu Malaysia akan jatuh cinta pada u. I jamin u. 
 
Pretty Boy :
Ye ke..?  (seperti serba-salah, melihat Mat Rock), tapi sorry la ye.  I ….I tak nak Rock marah. (menuju manja ke Mat Rock minta membonceng).
Mat Rock :
Huish!Huish! (sambil menepis Pretty Boy). Hang balik sendirilah.  Tak ruggedla brader nak bawak orang.  Motor ni jelous nanti.
 
Pretty Boy (berlalu sambil seakan merajuk) :
Jual mahal….tak pe.
 
(Mat Hip Hop dan Mat Rock menghidupkan suis motosikal.  Mat Hip-Hop beredar dengan skuternya.)
 
Mat Rock :
Oii Dina!  Hang khabaq kat Mem, aku tak balik malam ni.  Aku ada gig kat Bukit Mertajam.  Kirim salam. Selamat sejahtera ke atas kamu. (beredar dengan motosikal)
 
Dina (buat tak peduli, sambil menekan nombor telefon bimbit.) :
Hai Tony.  Tak dapat la. Tiga-tiga macam belut, susah nak tangkap.  Tapi I’ll try again.  Everyone has a price.  So, u don’t worryla
(Wan Muslimah masuk)
 
Wan Muslimah :
Dina weh…Yang mano satu mu ni.  Kejap Tony, kejap Johny, kejap Stephen, Joseph, Aron, Goldstein.  Hok yang macam Hong Kong pilem star tu…..
 
Dina :
Yang tu Ah Long mummy
 
Wan Muslimah :
Haa….Ah Long.  Mu nak simpan tang mano hok tu.  Banyak bena…
 
Dina (memintas) :
Ah Long tu business stratergy mummy. Dina nak bawa dia tengok kebun di Balik Danau.
 
Wan Muslimah :
Aku malu. Kawe-kawe aku mengato mu.  Mu ni tak dok ko orang kito mu nok berkawe….
 
Dina :
Kita ni kalau nak buat business empire mummy, jangan ikut perasaan,….. guna akal.  Tuhan bagi akal.  Gunakan dengan bijak.  Orang bodoh ikut perasaan, orang bijak guna akal. Barulah ada ketrampilan professional, menyakinkan.  Nak berniaga ni Mummy, mesti nampak sophisticated, nampak canggih.  Tak boleh nampak macam kampong, takut-takut macam tikus. Itu tak boleh! Ini tak boleh!  Itu salah! Ini salah!  Itulah kelemahan orang kita, malas guna fikiran, asyik dibuai perasaan. Buat keputusan ikut emosi melampau. Tak adventurous.  Tak berani ambil risiko, tak mau…. gamble. Sebab tu tak maju-maju.
 
Wan Muslimah :
Tok reti aku bercakap dengan mu ni…. Tok pahe aku cakap orang keparat ni.
 
Dina :
Corporate mummy.  Not keparat.  Corporate. (berhenti lihat sekeliling) Ayah mana Mummy?
 
Sejurus selepas Dina bertanya dan lampu pentas dipadamkan, Hussein menyanyi dalam keadaan separa mabuk di celah penonton.  Dia menyanyi lagu yang dipetik dari filem “Ali Baba Bujang Lapuk” …”Reput Tulang …”
 
Hussein menyanyi hingga tertidur di kaki lima Jalan Gurney(papan tanda)
 
(Ah Long masuk dari stage wing)
 
Dina :
Hi Ah Long.   Mummy, Dina pergi dulu. 
 
Wan Muslimah (tidak kelihatan, dari stage wing –dengar suara sahaja) :
Ah Long tu tau ko jale nak ke ujung tanjung nu? Banyak lobang dan longkang besar. Tengah buat jale besa.
 
Dina :
Dia pakai GPS systemla mummy, bukannya buta kena tutup mata.
 
(Dina dan Ah Long beredar menuruni tangga sambil menanyi lagu “Lompat Apek Lompat”)
Mereka berdua berjalan keluar dari pentas menerusi tangga tepi sambil menyanyikan lagu “Lompat Apek Lompat.”
 
Keduanya menyanyi sambil berlegar-legar di sekitar penonton seolah sesat.  Dina memegang palm top dengan sistem GPS seolah membaca peta untuk ke Balik Danau.
Dalam perjalanan yang sesat melarat, mereka terserempak dengan Hussein yang sedang berdengkur di kaki lima Jalan Gurney.
 
Dina mengejutkan daddynya, sambil menyuruhnya pulang kerana Wan Muslimah menunggu di rumah.  Jam sudah pukul 1 pagi.
Hussein bangun sambil mula melihat keliling dengan nervous.  Mula menyanyi lagu “Aci-aci Buka Pintu” sambil menuju perlahan ke pentas.  Dalam perjalanan, dia diganggu 3 ekor hantu – hantu harta/wang, takhta/pangkat/kerusi, dan hantu wanita/perempuan.  Sesekali dia hampir tewas tergoda dan tertipu tapi dapat menyelamatkan diri walaupun separuh mabuk.
Wan Muslimah di rumah juga ketakutan kerana hantu muncul secara virtual menerusi skrin besar, monitor tv dan slide projector.
 
Keduanya berduet hingga lagu habis.
 
"Aci-Aci Buka Pintu"
Wan Muslimah (di penghujung lagu):
Awok ni dah teruk….keno bawok pergi berubat dengan bomoh.
Lampu pentas padam
Skrin besar menayangkan petikan adegan bomoh dari filem "Bujang Lapok"
Cut to:
 
Exterior rumah Hussein Putu. Malam.
 
Hussein (di tepi kereta) :
Che’ Wan oii.  Cepatla sikit.  Dah lambat sangat ni.  Rosak PR aku nanti. Hang make-up sehari suntuk pun, bukan bole jadi macam Siti Nurhaliza.
 
Wan Muslimah (VO dari dalam rumah):
Siti Nurhaliza pun tok ingin mu, gata nak mampuh…
 
Hussein :
Cepatlah!
 
Wan Muslimah (keluar dari rumah) :
Kito ni mesti ada ketrampile propesonal, nampak sopistiketed, canggiiiiiih….menyakinke!
 
Hussein (sambil masuk kereta) :
Hang ni dah kena sampuk ayat si Dina (menggeleng-geleng kepala).
 
Wan Muslimah (masuk kereta) :
Abe weh… gaji si Mad jaga tu mu doh baya ko?
 
Hussein (menghidupkan enjin dan mula memandu):
Pi rah.  Orang malaih.  Tak buat apa-apa. 
 
Wan Muslimah (kereta berlalu melepasi Mad – Pak Guard jaga banglo Hussein. Wan Muslimah menjeling ke Mad sambil tersenyum pura-pura) :
Mad! Tengok-tengok rumah.  Kami nak ko USM, nonton konsert P.Ramlee.
 
(Mad tersenyum sinis, sambil menjeling ke rumah dengan mata yang liar)
 
Wan Muslimah :
Abe jangan buat orang lagu tu…jangan tabor pasir atah periuk nasi orang. 
 
Hussein :
Pasiak apa pulak ni.  Aku tau la apa aku nak buat. Hang jangan menyibuk ahh.   
 
Wan Muslimah :
Abe ni hute banyok sangak. Baya gaji orang pun sangkut-sangkut. Nafsu besa, duit tak cukup. Make duit hare tak berkat Abe oii. Maghrib tadi Abe sembahye tak?
 
Hussein :
Orang tua hang dah takdak, hang pulak nak berkhutbah dengan aku. Ni,…songkok tinggi kat kepala ni.  Hang tengok.
 
Wan Muslimah :
Itu pesyen abe oii. 
 
Hussein :
Hang nak lecture aku.  Hang punya pesyen ni, mengalah Mak Datin.  Bukan KL menjerit, body yang terjerit! hang pun kadang-kadang miss juga Subuh, maghrib, …..
 
Wan Muslimah (memintas):
Sayo orang perempuan Abe oii….kadang-kadang cuti.
 
Hussein :
Aii….Hang dah makin tua macam ni, entitle cuti lagi ka? (ketawa sinis)
 
Wan Muslimah :
Abe tak boleh ko kecek elok-elok dengan kawe.  Kalo dengan orang lain tu, lembuuuuut lidah.
 
Hussein :
Lidah hang lagi laser….
 
Wan Muslimah (meninggi suara) :
Laser sebab nak motong hati batu Abe tu!  Orang semakin tuo semakin dekat dengan Tuhe.  Abe semakin melekat dengan hantu! Hantu harto! Hantu namo! Hantu tino! Hantu…
(telefon bimbit berdering….Wan Muslimah terhenti untuk menjawab)
Halooo…(bertukar suara menjadi lembut dan manja, menjadi bahasa baku)  Mu’alaikum mu sallam.  Puan Sri…..ye,  ye.  Saya dah uruskan.  Saya dah confirm dengan Rumah Anak Yatim tu.  Ye…ye…..mu’alaikum mussallam. (menutup telefon bimbit).
 
Hussein (mengajuk Wan Muslimah) :
Lembuuuut lidah….
 
Wan Muslimah :
Abe jange nok perli kawe.  Orang perempuan ni memang semulojadi lembut.  Nok kecek denge dio mesti lembut.  Buke mace Abe ni, kasar.  Kalau ada Lembaga Penapis TV, doh lama kena sensa!
 
Hussein :
Itu tv, ni bukan rancangan tv (mata Hussein terpandang ke arah kamera)
 
Wan Muslimah :
Habih tu, menate kamera ni apo dio (Sambil tangan menunding ke kamera)
 
Hussein :
Itu reality tv.  Webcam aku.
 
Wan Muslimah (seperti binggung melihat kamera, kemudian mengalih pandangan):
Abe woi, USM ni molek sungguh.  Banyok pokok-pokok besa.
 
Hussein (menjeling ke Muslimah seperti menyampah) :
Universiti dalam taman…
 
(Telefon bimbit berbunyi lagi) :
Haloooo…(bersuara dengan lembut, diam mendengar). 
(Tiba-tiba bertukar suara semula) Ahhh….Nur Lail…..apo lagi ni?  Pak guard apo! Biarla dio masuk.  Doh pesan suruh dio jago rumoh.  ….(diam)…yolah….biarlah dio buat kejo dio.  Mu duduk ajo dalam bilik main komputar mu.  Ni, kami dah dekat nak sampa ni. Mu jange ganggu lagi….(tutup telefon bimbit dengan agak marah).  Menyibuk ajo budak tu..
 
(Hussein terus memandu ke dalam kawasan letak kereta VVIP.  Seorang Pak Guard USM cuba menahan)
 
Pak Guard USM :
Sini tak boleh masuk tuan. VVIP saja.
 
Hussein (tak memperdulikan, sambil terus meletakkan kereta) :
Aku pun VIP jugak.  Kurang satu V saja. 
 
(Hussein dan Wan Muslimah bergegas keluar kereta sambil menuju ke pntu masuk Dewan Budaya).
 
Skrin besar padam. Lampu spot ke arah Hussein Putu dan Wan Maimunah sedang bergegas masuk.
Hussein :
Nilah sebabnya aku suruh hang diet…..tersemput-semput.
 
Wan Muslimah :
Ado tempat duduk lagi ko Abe? 
 
Hussein :
Diamlah sikit mulut tu.  Nanti satu USM tau kita lambat.  Body tu memang tak dapat nak dicover lagi dah!  Masuk pelan-pelan…    
 
(Kedua-dua masuk dalam Dewan.  Satu Dewan melihat mereka)
Hussein dan Wan Muslimah masuk ke dalam Auditorium dan kemudian terpinga-pinga malu kerana sudah terlalu lewat.  Cuba mencari tempat duduk.  Duduk di bahagian kerusi penonton barisan depan sekali.
 
Pengacara majlis (Norazah Aziz) mengumumkan:
 
Para hadirin sekelian, terimalah,......LIZA HANIM!
Liza Hanim menyanyikan beberapa lagu P.Ramlee.
Orkestra P.Ramlee
Liza Hanim turun dari pentas untuk berinteraksi dengan penonton. Melintas Hussein Putu yang sudah lena tertidur.
Penonton yang melimpah
Liza menjemput seorang penonton untuk menyanyi bersamanya di pentas.
Liza Hanim menjemput tiga orang penonton ke pentas untuk menyanyi bersamanya
 
(Bleeding into the audiences' space, converging 'reality' with stage and screen fiction in "Getaran Jiwa - P.Ramlee Merentas Zaman". The 'one night' show received a full-house response, even with audiences bleeding outside the Dewan Budaya (had to use large screen life video projection), something that I have never experienced before (and after) the show till now.
Liza menari twist bersama tiga peminatnya.
(Liza Hanim baru hendak memulakan lagu seterusnya.  Telefon bimbit berbunyi hingga menganggu Dewan.  Liza Hanim nampak binggung, tapi mampu tersenyum) hingga dijemput keluar stage wing oleh pengurus pentas (Yusof Bakar)
 
Wan Muslimah :
Haloo…..Gapo dio?  Hospital!  (Melihat ke Hussein dengan wajah cemas dan sedih).  Nur Lail Abe, mano kito nak cari ganti,  mano nak cari ganti….
 
Hussein :
Shhh….shhhh…plan-plan sikit suara tu (sejak tadi kelihatan resah dan malu kerana satu Dewan mendengar telefon dan suara Wan Muslimah). Apa hal ni. Tenang…tenang…
 
Wan Muslimah (memintas) :
Ado orang selamatkan?  Pak Guard? Pak Guard Mad tu? Celako!...Doh dapat tangkap ko….aa…aa
ICU…(melihat Hussein dengan cemas) Kito gi hospital Abe.  Nur Lail di hospital…..tenat.  Tengah nak selamatke dio?
 
Hussein :
Jom…jom….jom….(melihat keliling sambil memimpin Muslimah keluar dengan agak tergesa)….maaf ya, maaf ya…….(kepada penonton)
 
Wan Muslimah :
Mano nak cari ganti Abe weeh! (teriak) Mano nak cari ganti? 
 
Hussein :
Shhhh…..ssshhhhhhh…control sikit….tenang.
 
Wan Muslimah (VO saja, kerana sudah di luar Dewan) :
Mu jange nak dok shhhhh…shhhhh kawe.  Mu banyok buet dosa…ni la musibahnyo…nak tenang gapo! Kalau Nur Lail pergi, mano nak cari ganti Abe weeeeehhhh…….(echo/gema panjang)
(VO gema suara Wan Muslimah meratap masih kedengaran sayup dan seterusnya hilang)
 
(Nur Lail duduk di atas kerusi pengarah, kelihatan agak binggung dan hairan.  Di sebelahnya Penjaga Cahaya)
 
Nur Lail (sedang menekup telinga seolah tak mahu mendengar bising):
Awak ni siapa?  Saya ni di mana? Suara siapa tadi?
 
Penjaga Cahaya :
Saya kawan.  Nur Lail sekarang sedang bermimpi. Yang meratap tadi hati yang tiba-tiba dipanah cahaya.
 
Nur Lail (melihat penonton dengan hairan) :
Macam pernah datang sini.  Tapi mereka ni semua siapa?  Kenapa mereka tengok saya?
 
Penjaga Cahaya :
Mereka tak melihat kita.  Kita yang melihat mereka.  Mereka tengah melihat permainan bayang. 
 
Nur Lail :
Awak ni peliklah.  Tak fahamlah apa yang awak cakap ni.
 
Penjaga cahaya :
Dalam mimpi memang susah nak faham.
 
Nur Lail :
Apa jadi dengan saya ni?
 
Penjaga cahaya :
Tak ada apa-apa.  Nanti bila Nur Lail bangun, semua akan ok.  Ibu, ayah, kakak-kakak, abang-abang, semua akan tunggu Nur.  Semua akan senyum dan peluk Nur erat-erat.  Semua akan celik, semua akan nampak.  Nampak dengan mata hati.  Nampak cahaya mata yang sebelm ini ditimbus oleh bayang mereka sendiri.
 
Nur Lail :
Awak ni peliklah. Tak fahamlah cakap awak ni. Awak ni siapa?
 
Penjaga cahaya :
Saya ni kawan Nur.  Saya ni cahaya hati Nur.
 
Nur Lail :
Awak ni kelakarlah (ketawa kecil). Saya rasa sangat sejuk.  Saya nak balik rumah.  Tapi rumah sunyi.
 
Penjaga cahaya :
Nampak tak cahaya tu (menunjuk ke arah cahaya yang berkabus dari sebelah wing).  Nur pergi ke situ.  Nanti akan sampai ke rumah.  Semua sedang menunggu Nur, dengan hati yang sudah dibuka tabirnya.  Cahaya sudah boleh masuk. Nanti tak sunyi lagi.  Semua akan ok.
 
Nur Lail :
Awak cakap peliklah.  Tapi….awak nak ke mana?
 
Penjaga cahaya :
Saya tak ke mana.  Saya duduk di sini (duduk melutut di depan Nur sambil meletakkan telinga ke dada Nur).  Nanti bila Nur semakin dewasa, janganlah lupa saya di sini. Jangan hilang dalam bayang gelap ye. Di sini ada cahaya.  Itupun kalau tak ditimbusi bayang.  Di sini ada cahaya.  Di sini satu-satunya, satu dalam berjuta, paling istimewa.  Jangan lupa.  Di sini paksi segala lagenda.  Saya akan bergetar di sini, berdegup, bergetar….berjiwa…..dup-dup, dup-dup, dup-dup.  Dengar tak….tadi takda, sekarang dah ada……dup-dup, dup-dup, dup-dup……dup-dup (sambil tersenyum lebar). 
 
Nur Lail (ketawa):
Dup-dup, dup-dup, dup-dup…….(sambil beredar dan melambai ke Penjaga cahaya). Bye-bye! …dup-dup, dup-dup, dup-dup…..
 
(Terdengar efek bunyi jantung dan pernafasan manusia)
 
(Penjaga cahaya menunggu hingga Nur hilang dari pandangan.  Setelah itu, dia pun beredar.  Sejurus selepas itu, dia muncul di atas skrin.  Wajahnya kemudian bertukar menjadi lilin)
 
Penjaga cahaya (VO) :
Tabir perlu ditutup semula….untuk ujian bayangan yang lain pula, putaran getar jiwa manusia, manusia peminjam dan penjaga cahaya yang seringkali ditimbus oleh bayangnya sendiri…..
 
Liza masuk semula ke pentas. Menyanyikan lagu
"Lagenda"
2004, 'soul'ed out performance by Liza Hanim in "Getaran Jiwa - P.Ramlee Merentas Zaman", final scene, surrounded by candle lights. Live music provided by the P.Ramlee Orchestra Penang. Liza and the musicians were professional bunch, I salute them. Liza's vocal is sublime, best female singer in the country for me, but very under-ratted.
Nurul Lail masuk di pertengahan lagu. Duduk di kerusi pengarah. Tak lama kemudian, Hussein Putu dan Wan Muslimah mernerpa masuk dan terus memeluknya. Diikuti oleh ahli keluarga yang lain, para pelakon lain dan semua krew.
Curtain call.
"tanya sama hati, apa makna sayang?"
Kasih sayang yang jernih adalah tidak terbatas, termasuk dikalangan jejaka normal yang 'straight'.
 
Untuk rakan-rakan di Dewan Budaya USM
(Dedicated team for "Getaran Jiwa", mostly from Dewan Budaya USM, a placed I used to work as the 'gardener')
GETARAN JIWA (VIBRATION OF THE SOUL) (2004)
8
681
0
Published:

GETARAN JIWA (VIBRATION OF THE SOUL) (2004)

Title: Getaran Jiwa – P.Ramlee Merentas Zaman (Vibes of the Soul – P.Ramlee Across Time) Year: 2004 SYNOPSIS A homage piece to Tan Sri P. Ram Read More
8
681
0
Published:

Creative Fields